Tanpa Kenal Lelah dan Jemu..Sampaikanlah Firman TuhanMU

Sunday, March 27, 2011

Episod Seks Di Malaysia Tidak Berkesudahan??


Pendekatan politik negara kita kebelakangan ini bukan lagi berkisar soal ‘ideologi melawan ideologi’ (Model Ekonomi Baru atau Nasionalis melawan Agenda Ekonomi Malaysia, Buku Jingga atau Islamis/Demokratik/Liberalis), tetapi ‘pembunuhan watak’ musuh politik.

1- Masanya untuk mengaplikasikan undang-undang sebenar Islam iaitu Qazaf supaya kedua-dua pihak mendapat keadilan yang sewajarnya.
2- (Perundangan Sivil) - Tindakan Datuk T menayangkan video lucah kepada orang awam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali
(Perundangan Syariah) - Datuk T juga boleh didakwa di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang menyebut;
Seksyen 41. Qazaf
kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
*Kesalahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah pun tidak ‘Islamik’? Hmm~
(Pandangan Islam) Qazaf merupakan salah satu daripada tujuh (7) kesalahan hudud iaitu menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh . Kesalahan di bawah jenayah Qazaf ialah ;
a) Sebatan sebanyak 80 kali sebatan (Surah An-Nur, ayat 4) mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai.
b) Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya (Surah An-Nur, ayat 4) dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.
3- Ada 2 kemungkinan. Satu, jika video lucah itu betul, maka Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dijatuhkan hukuman. Manakala, jika video lucah itu palsu, maka Datuk T sepatutnya perlu didakwa di bawah kesalahan Qazaf.
4- Tidak ada kemungkinan ketiga.
5- Jika Datuk Seri Anwar dibuktikan bersalah dan terbabit, maka apakah hukumannya?
6- (Perundangan Sivil) - Bukan menjadi satu kesalahan mengadakan hubungan seks suka sama suka di bawah Kanun Keseksaan bagi mereka yang sudah mencapai umur majoriti, 18 tahun dan ke atas.
(Perundangan Syariah) - Menurut Seksyen 23(1) sebagaimana Akta Kesalahan Jenayah Syariah di atas, Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
(Pandangan Islam) - Kesalahan sebegini jatuh di bawah hukuman zina. Memandangkan Datuk Seri Anwar sudah berkahwin (muhsan), maka hukuman bagi beliau sepatutnya ialah rejam sampai mati (Menurut 'Ubbadah Ibn al-Somit R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Kamu semua hendaklah mengambil (hukuman zina) daripadaku. Sesungguhnya Allah telah menunjukkan jalan penyelesaiannya. Penzina yang telah berkahwin hendaklah dirotan sebanyak 100 kali dan direjam hingga mati. Penzina yang belum kahwin hendaklah dirotan sebanyak 100 kali dan dibuang daerah." - Hadis sahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah. Al-Tirmizi mengklasifikasikan hadis ini sebagai hasan sahih.)
7- Zalim ke rejam sampai mati? Tidak, selain ia disyariatkan sebagaimana yang telah disebutkan diatas, mendengar hukumannya pun kita sudah berasa takut dan gentar. Laws should not be seen as to ‘cure’ crime and criminal per se, but to ‘prevent’ crime and criminal as well.
8- Jika video seks itu dibuktikan palsu, maka apakah hukumannya kepada pengadu?
(Perundangan Sivil) Menurut Seksyen 292 sebagaimana di atas, “…boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali”.
(Perundangan Syariah) Menurut Seksyen 41 sebagaimana di atas, “…boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi RM 5,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali”.
(Pandangan Islam) Menurut Surah An-Nur, ayat 4 sebagaimana di atas “…sebatan sebanyak 80 kali sebatan dan tidak diterima penyaksiannya”
9- Untuk memastikan bahawa keadilan tertegak bagi kedua-dua pihak dan juga membetulkan persepsi masyarakat di dalam kes ini, maka undang-undang jenayah Qazaf ialah set undang-undang yang terbaik untuk diaplikasikan.
10- Hari ini, tidak perlu lagi membeli URTV, Mangga, HI dan sebagainya untuk membaca bahan-bahan lucah.
11- Selamatkan Malaysia daripada orang yang suka berita seks!


Timbalan Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS)

No comments:

Post a Comment